PraktikumIPPM

Blog ini bertujuan untuk menghubungkan semua warga IPPM yang ingin memperoleh maklumat tambahan mengenai praktikum yang dikendalikan dari semasa ke semasa.

Friday, June 23, 2006

Contoh Penulisan Jurnal Mengikut Format Dicadangkan

JURNAL MINGGU SEPANJANG PRAKTIKUM
CONTOH
MINGGU KETIGA (20 -24 MAC 2006)

1. DATA: (Fikir kembali apa yang telah berlaku. Apa telah anda buat? Apa yang menarik perhatian anda?)

Pada hari Selasa yang lalu, saya mengajar kelas Empat Merah (46 orang murid). Saya mengajar murid menulis karangan berpandukan gambar. Saya memberi sekeping gambar yang menunjukkan pokok kelapa dan bahagian-bahagiannya, seperti buah, daun, dahan, dll. Bahagian-bahagian pokok kelapa ini dikaitkan dengan gambar-gambar kecil yang menunjukkan kegunaannya, contohnya, dahan kelapa dikaitkan dengan gambar kecil jambatan, buah kelapa dikaitkan dengan gambar kecil kuah-muih, dll. Murid-murid dikehendaki menulis lima ayat lengkah berkait dengan “Kegunaan Pokok Kelapa”. Masa yang diberi untuk menyiapkan ayat itu ialah 20 minit.
Mula-mula saya memaparkan gambar pokok kepala di papan tulis. Kemudian, saya memberi arahan agar murid-murid melihat gambar itu dan cuba memahami kaitan bahagian kelapa dengan kegunaannya. Mereka diminta menulis lima ayat mudah untuk menerangkan kegunaan pokok kelapa. Setelah arahan diberi, sayapun menjalankan pengawasan dan bimbingan supaya murid dapat menyiapkan tugas ini. Bagaimanapun, saya dapati hampir separuh daripada murid saya tidak dapat menulis ayat seperti diarahkan. Ada sebilangan murid yang sedang bercakap untuk mendapatkan idea, ada yang sedang termenung, tidak dapat buat apa-apa setelah arahan diberi. Saya berasa kecewa dan memarahi murid yang gagal menulis ayat yang lengkap. Pada saya, ini satu tugasan yang mudah sebab butiran penulisan diberi dalam bentuk grafik dan segala-galanya dipaparkan. Mereka Cuma perlu menulis ayat mudah sahaja. Lagipun, Kelas Emat Merah merupakan kelas yang terbaik di kalangan kelas tahun Empat.

2. Perhubungkaitan dan Perasaan: (Apa yang berkesan? Apa yang memberangsangkan anda? Apa yang kurang berkesan? Apa yang menghampakan anda?)

Bagi sesetengah murid yang dapat melengkapkan tugasan penulisan itu, saya dapati mereka rajin merujuk Kamus Bahasa Melayu yang dibawa bersama. Sebelum ini, saya memang meminta murid-murid kelas agar selalu membawa kamus ke sekolah agar ia dapat membantu dalam pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu. Nampaknya, yang mematuhi arahan ini yang berjaya dalam penulisan lima ayat seperti dikehendaki manakala bagi mereka yang tidak membawa kamus ke kelas, tidak dapat menulis ayat itu. Selain itu, murid-murid yang gagal menulis ayat tidak mahu bertanya kepada saya! Saya berasa hampa! Adakah saya seorang guru yang garang sehinggakan tiada murid yang ingin bertanya jika gagal membuat sesuatu?

3. Membuat interpretasi: Apa yang telah anda pelajari? Apakah implikasinya? Bagaimana ia mempengaruhi tugas / kerja anda?

Daripada penilaian kendiri ini, saya dapati saya mempunyai kelemahan dalam pelaksanaan pengajaran di atas. Saya seharusnya memberi penerangan ringkas tentang maksud gambar-gambar kecil yang dikaitkan dengan bahagian-bahagian pokok kelapa. Contohnya, menerangkan apa maksud gambar dan menulis perkataan yang berkait dengan gambar kecil itu, seperti buah kelapa – kuih-muih; dahan-jambatan; dll. Tindakan ini dapat membantu kumpulan murid yang tidak membawa kamus ke sekolah dan membantu mereka yang lemah dalam mata pelajaran ini. Saya perlu juga memberi peringatan kepada murid-murid yang tidak membawa kamus ke sekolah agar melakukannya pada masa akan dating. Bagi murid yang tidak berani bertanya apabila gagal melakukan sesuatu, saya pula perlu bertanya mereka. Daripada jawapan mereka, saya dapat tafsir sama ada mereka memahami ataupun tidak tugasan yang diberi. Bermula daripada langkah ini, saya boleh membantu mereka yang lemah. Tindakan awal/proaktif ini akan memudahkan pengajaran saya dan memudahkan kefahaman murid dalam penulisan seperti ini.

4. Keputusan: Bagaimana anda akan melakukannya secara berbeza (differently) pada masa akan datang?

Pada pelajaran akan datang, mengajar tajuk penulisan seperti mengarang berpandukan gambar, saya perlu mengambil tindakan berikut:

Mempamerkan gambar dan membantu murid memahami maksud bagi butiran yang terdapat di dalam gambar tersebut
Cuba meminta beberapa orang murid membina beberapa ayat secara lisan sebelum mengarahkan murid membina ayat sendiri – seboleh-bolehnya, ayat itu hendaklah berbeza daripada apa yang telah diberi secara lisan oleh murid.
Memastikan semua murid membawa kamus ke sekolah, bagi mereka yang tidak membawanya, saya perlu mengenakan peneguhan negatif terhadap mereka.

Berharap dengan tindakan di atas, pengajaran saya akan menjadi lebih berkesan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home